Rahsia cap jari
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/06/20
Bentuk pola mampu dedahkan personaliti, potensi individu
CAP
 jari selama ini hanya digunakan sebagai asas pengenalan diri, sistem 
keselamatan sama ada untuk keperluan forensik ataupun mengenalpasti 
identiti penjenayah. 
Namun tidak ramai yang ketahui cap jari itu mampu mendedahkan rahsia 
sebenar diri individu termasuk personaliti dan potensi dirinya. Ini 
hasil teknologi analisis imbasan cap jari yang boleh menyerlahkan bakat 
semula jadi insani hasil bawaan genetik. Malah cap jari itu disifatkan 
pakar umpama berlian yang hanya menanti masa untuk dicanai bagi 
merungkai rahsia diri seseorang.
Jika bakat adalah kemampuan diwarisi dalam diri seseorang yang dibawa
 sejak lahir dan berkaitan struktur otak, analisis cap jari adalah 
sistem mengenali potensi genetik seseorang berdasarkan sains 
dermatoglifik - ilmu yang mempelajari pola cap jari termasuk hujung luar
 derma kulit jari, telapak tangan dan tapak kaki yang sudah wujud selama
 lebih 200 tahun dalam sejarahnya.
Kebarangkalian memiliki cap
 jari sama pula disifatkan amat mustahil iaitu pada nisbah 1 setiap 64 
juta atau hampir mustahil walaupun pada anak kembar. Ini kerana ia mula 
terbentuk sejak embrio berusia 13 minggu dalam kandungan ibu, lengkap 
pada usia 24 minggu dan terus berkembang seiring perkembangan sel otak.
Dermatoglifik pula adalah tiga pola dasar rupa bentuk cap jari iaitu 
arches atau lengkungan, simpulan (loops) dan lingkaran (whorls) atau 
gabungan ketiga-tiganya. Analisis cap jari ini menjadi antara khidmat 
yang disediakan syarikat perundingan, Airborne Discovery Sdn Bhd yang 
berpejabat di Shah Alam, Selangor.
Pengurusnya, Hanizah Ujang, berkata cap jari adalah bahagian tubuh yang bersifat kekal dan tidak pernah berubah.
“Cap jari adalah unik dan tersendiri bagi setiap individu dan mampu 
menggambarkan watak terperinci setiap orang. Memandangkan pertumbuhan 
cap jari bermula bagi embrio berusia 13 minggu dan perkembangannya pula 
seiring pertumbuhan otak. Pembentukan pola garis cap jari menggambarkan 
cara kerja dan fungsi bahagian otak,” katanya.
Namun, tegas 
Hanizah, tujuan dan manfaat analisis cap jari adalah untuk mengetahui 
potensi bakat, kecerdasan, watak dan motivasi individu dan tiada kena 
mengena dengan perbuatan meramal masa depan seperti menilik nasib 
berasaskan tapak tangan (Palmistry) dan sebagainya.
“Kaedah ini
 boleh dijadikan sumber rujukan berdasarkan potensi genetik untuk 
menentukan kejayaan masa depan, bukan untuk mengetahui masa depan. 
Memandangkan analisa dibuat melalui teori dan metodologi ilmiah dan 
proses perhitungan logik maka laporan adalah tepat berdasarkan data 
statistik dan biometrik.
“Masyarakat kini tidak lagi 
meletakkan kepentingan akademik sebagai kayu pengukur kejayaan dalam 
hidup secara seratus peratus, potensi bakat juga dilihat dan dinilai 
dalam diri seseorang kerana sebagai manusia kita dilahirkan unik. Ada 
kalanya kelebihan orang lain adalah kekurangan pada kita dan di situlah 
cabaran untuk kita memperbaiki diri,” katanya.  
Bagi anak 
‘auditory’ (gemar belajar dengan iringan suara, muzik dan bahasa) 
misalnya perlukan pendekatan berbeza berbanding anak kinestetik 
(menyukai pembelajaran dengan gerakan, pancaindera dan praktikal) dan 
visual (menyukai pembelajaran dengan gambar, grafik, foto dan tampilan).
 Begitu juga kedudukan mereka dalam kelas dan cara untuk berkomunikasi 
dengannya atau kalangan majikan, pekerja, pelajar, ibu, bapa dan 
individu lain.
Menurut Hanizah, teknologi analisis cap jari 
mula dipelopori lebih 25 tahun lalu di Amerika Syarikat (AS) terutama 
bahagian forensik Agensi Perisikan Pusat (CIA). Hanya selepas dua tahun 
kaedah ini tersebar di Singapura dan Indonesia barulah ia sampai ke 
sini.
Katanya, sejak mula beroperasi lebih dua tahun lalu, 
syarikat Airborne Discovery sudah mempunyai 5,000 pangkalan data sampel 
cap jari. Kaedah ini bukan saja banyak memberi manfaat kepada ibu bapa 
dan anak-anak sebagai panduan memilih jurusan yang sesuai berdasarkan 
potensi diri, mengesan gaya pembelajaran yang sesuai dan efektif malah 
berupaya merancang masa depan dan kerjaya yang sesuai dengan bakat.
“Kaedah analisis ini besar manfaatnya kepada pembangunan sosio-ekonomi
 negara terutama kalangan perunding motivasi dalam membina sahsiah diri,
 majikan, ketua jabatan, guru-guru khidmat bimbingan dan kaunseling, 
penghuni pusat pemulihan akhlak serta pesalah juvana, golongan 
berkerjaya malah pasangan yang bakal melangkah ke alam perkahwinan.”
Bagi menjaga sensitiviti pelanggan yang majoriti beragama Islam, 
kaedah ini mempunyai panel syariah sendiri iaitu Penasihat dakwah untuk 
Kerajaan Negeri Selangor, Dr Azahar Yaakob yang juga Pensyarah Pengajian
 Islam UTM dan diiktiraf Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). 
“Kami juga menitikberatkan soal keselamatan data yang tersimpan dalam
 pangkalan datanya. Menjadi amalan penganalisis untuk memusnahkan imej 
sampel cap jari mengikut tempoh yang sudah ditetapkan iaitu satu hingga 
tiga bulan,” katanya 
8 perkara asas analisis cap jari
“Sejak
 kecil hingga berkahwin dan beranak pinak, satu soalan yang masih sukar 
untuk dijawab hingga kini  ialah adakah salasilah dalam keluarga yang 
berkahwin dengan orang asing? Adakah saya berdarah campur?” kata Zenora 
Ibrahim, 35, salah seorang pelanggan Airborne Discovery Sdn Bhd.
Pelbagai soalan timbul kerana pertama mungkin rupa paras, nama selain 
perwatakannya yang ceria, mesra dan mudah untuk didekati.
“Hidup tanpa kepastian memang cukup menyeksakan, dan maklumat mengenai 
salasilah keluarga menjadi semakin sukar kerana perpisahan dan juga 
kematian, jadi saya hilang punca dan tiada sumber untuk merujuk hal 
berkaitan keturunan dan darah,” kata Eksekutif Perhubungan Awam di 
sebuah firma swasta di ibu negara.
Mengetahui mengenai kaedah 
yang diperkenalkan AD selepas terlihat pameran mereka di sebuah pusat 
membeli belah. Selepas membuat temujanji semua persoalan semakin jelas.
“Analisis itu ternyata satu kejutan buat saya, berdasarkan rupa bentuk
 atau pola cap jari jenis lengkungan (arches), saya memang sah berdarah 
kacukan. Apapun, salasilah keturunan dan bangsa masih lagi satu misteri 
namun apa yang pasti arwah moyang saya adalah seorang guru taranum 
begitu juga ibu yang berbakat mengaji dengan baik manakala ayah yang 
berkebolehan bermain muzik.”  
Hasil analisis itu juga 
menjelaskan ibu kepada tiga orang anak ini punya kecenderungan yang 
besar terhadap muzik. Laporan itu turut mendedahkan tabiat Zenora 
sewaktu menuntut yang tidak boleh belajar tanpa mendengar muzik. 
Ternyata Zenora jatuh dalam kategori pelajar auditory iaitu lebih 
menyukai pembelajaran dengan suara, muzik dan bahasa.
Laporan 
itu turut menggambarkan bahawa otak kanan Zenora yang mewakili 
kreativiti, warna, seni, visual, intuisi, idea, khayalan, muzik, bentuk 
dan ruang lebih dominan berbanding otak kiri, yang begitu cenderung 
terhadap sesuatu yang artistik.
Apa yang sebenarnya berlaku 
adalah, perisian khas analisis imbasan cap jari akan memproses dan 
menilai lapan subjek atau perkara menerusi data yang diperoleh iaitu 
Ujian otak kanan otak kiri; Ujian potensi kompetensi multiple 
intelligence; Ujian pengambilan/penempatan pekerja; Ujian gaya belajar; 
Ujian kepekaan belajar; ujian keperibadian; Alternatif kerjaya dan 
Cadangan gaya kerja.
Laporan analisis oleh penganalisis yang 
siap akan dicetak dan dibukukan dalam Buku Bakat. Menerusi laporan 
analisis ini penganalisis akan berbincang dengan pelanggan mengenai 
maksud, interpretasi dan cadangan-cadangan untuk dijadikan panduan dalam
 merancang kejayaan dan masa depan pelanggan di mana proses ini hanya 
mengambil masa kurang dari 30 minit.
Laporan analisis ini juga 
membolehkan penganalisa mengesan Kecerdasan secara majmuk (multiple 
intelligence) supaya pelanggan lebih fokus dan terarah pada bidang tugas
 yang paling sesuai dengan potensi dan bakatnya.
INFO: Proses cap jari
Sampel cap jari peserta diambil (sepuluh jari satu persatu)
Sistem komputer mengumpulkan dan menganalisa data cap jari
Perisian khas akan menganalisa data cap jari berdasarkan ilmu Neuroscience dan Dermatoglifik
Fungsi kerja otak dipetakan
Laporan Hasil Analisa Potensi Bakat dan proses rundingan.